Sebagai muslim kita percaya bahawa setelah kehidupan dunia ada kehidupan akhirat. Alam akhirat adalah alam pembalasan atas segala amalan kita di dunia. Oleh itu, tak pernah lekang harapan agar kita dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat. Walaupun kebahagiaan akhirat itu lebih perlu dicari, tetapi kita juga menginginkan kebahagiaan di dunia. InsyaAllah

Friday 4 October 2013

Kemanisan Ibadah Haji

Assalamualykum w.b.t..

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian,pada kali ini saya ingin membawa coretan yang bertajuk "Kemanisan Haji".

MUSIM haji tiba lagi. Sebagaimana lazimnya, beribu-ribu lagi jemaah haji dari seluruh dunia mula berlepas dan bakal berkumpul di Tanah Haram Mekah bagi menunaikan salah satu daripada cabang Rukun Islam yang lima.

Kewajipan menunaikan fardu haji tidak boleh dipandang remeh oleh semua muslimin dan muslimat yang cukup perbelanjaan, sihat tubuh badan dan aman perjalanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Dan Allah mewajibkan manusia melaksanakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu kepada setiap orang yang mampu dan berdaya sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekelian makhluk. (Al-Imran: 97)

Rasulullah SAW pula melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan al-Baihaqi telah bersabda yang bermaksud: "

Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan haji (hingga mati tanpa ada keuzuran) maka tiada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksaan-Nya) kerana Allah telah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai ke sana."


Berdasarkan intipati daripada hadis dan firman Allah di atas, maka jelas hukumnya adalah menjadi kesalahan jika ada di kalangan umat Islam yang telah memenuhi segala syarat yang ditetapkan tetapi dengan sengaja enggan menunaikan ibadat haji sebagaimana yang dituntut agama.

Justeru, ketiga-tiga Imam mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan adalah wajib menyegerakan perlaksanaan ibadat haji bagi mereka yang telah mampu, jangan bertangguh-tangguh lagi kerana dikhuatiri akan meninggal dunia sebelum ibadat tersebut dapat ditunaikan.

Bagaimanapun, Imam Syafie pula berpendapat, menunaikan haji tidak semestinya dengan keadaan yang segera.Ibadat haji yang dilaksanakan di Mekah pada satu tempoh waktu yang dihadkan (bulan haji) menemukan umat Islam daripada pelbagai tempat atau negeri, berlainan warna kulit, bahasa dan kebudayaan.

Perhimpunan raksasa umat Islam sedunia ini adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dalam menghidupkan suasana persaudaraan Islam sejati berserta tekad dan keimanan yang bulat dan teguh terhadap Allah SWT.

Menerusi ibadat haji juga melahirkan tanggungjawab bersama bahawa manusia sebagai makhluk Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini, hendaklah bekerjasama antara satu bangsa dengan bangsa lainnya dalam menyusun perjuangan memanfaatkan hasil dari bumi Allah ini, selama mana mereka berada dalam neraca tauhid yang satu.

Dengan demikian tercerminlah hubungan antara manusia dengan segala macam warna kulitnya, perbezaan bahasa, bentuk tubuh badan serta kelainan watak pembawaannya.
Perbezaan ini kita lihat bukan untuk diterima pada keseluruhannya tetapi untuk diambil hikmatnya bahawa manusia itu sama sahaja, yang membezakan dalam darjat dan martabat adalah takwa kepada Allah SWT.

Perhimpunan pada musim haji ini turut membuktikan bahawa umat Islam semuanya adalah sebagai tetamu Allah. Berpakaian ihram putih melambangkan kesamarataan, tidak lagi dinilai pangkat, kekayaan dan keturunan seseorang apabila ia datang menunaikan ibadat haji.

Dengan berpakaian seragam putih menghapuskan segala perbezaan, lambang daripada ketiadaan perbezaan pangkat dan keturunan dalam pandangan Islam. Kecil besar, kaya miskin, berkulit putih atau hitam, semuanya adalah sama di sisi Allah yang sujud kepada-Nya.Di tempat ini mereka memuji, berdoa dan mengagungkan kebesaran Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Daripada sudut lain, mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini adalah untuk menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para rasul terutama Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as dan Rasulullah SAW dalam menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.
Kedua-dua kota suci iaitu Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah diharuskan kepada mereka yang menunaikan haji mempelajari dan menyaksikan sendiri kesan tempat di mana baginda Rasullullah SAW berjuang menegakkan Islam. Kedua-dua tempat inilah Nabi SAW memancarkan Islam yang menerangi seluruh dunia.

Ibadat tawaf dan saie dilakukan dalam suasana khusyuk memberikan kegembiraan jelas terhadap keagungan dan kebesaran Allah. Bacaan-bacaan dilafazkan bagi menyucikan jiwa dan memberikan tafsiran bahawa muslimin hidup berdikari, selalu cergas dalam menempuh perjuangan hidup.

Wukuf di Arafah yang merupakan salah satu rukun haji yang mana jemaah haji akan ditempatkan di satu kawasan padang pasir dalam khemah yang sama bentuk di tengah-tengah sinaran cahaya matahari tanpa kelengkapan yang sempurna seperti yang terdapat di rumah-rumah mereka sendiri.

Disifatkan oleh setengah ulama sebagai lambang perhimpunan manusia di akhirat kelak untuk menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan yang telah dilakukan di dunia.
Oleh kerana itu, ibadat haji diharapkan dapat melahirkan rasa keinsafan dalam kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari kelak dengan tidak akan membawa bersama harta, pangkat, anak-pinak kecuali iman, Islam, amal kebajikan dan takwa.

Para jemaah patut mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kesulitan dan ketidakselesaan semasa berada di Tanah Suci nanti dengan penuh sabar, tabah dan rasa syukur.

Ini kerana, apa jua perkara yang dihadapi adalah ujian kepada keimanan dan kesabaran dalam menyempurnakan perintah Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha, perlaksanaan adalah mengikut ketentuan Allah SWT.

Hikmat dan tujuan ibadat haji ini tidak akan dapat dirasakan oleh para jemaah yang menunaikan haji tanpa niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah.


Semoga bakal-bakal jemaah haji kita akan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna serta memenuhi syarat dan rukunnya untuk mencapai tujuan dan


No comments:

Post a Comment